Friday, April 2, 2010

Article #01 : Bahaya Penggunaan Kad Kredit dan Keburukan Berhutang (part 2)

continue from last week...



Akhirnya seperti yang dipersetujui dalam perjanjian, pihak pemaju perumahan menyerahkan anak kunci rumah idamannya tiga bulan lebih awal daripada yang termaktub dalam perjanjian jual beli. Banyak juga barang yang tidak dibawa bersama ke rumah baru ini. Peti sejuk, mesin basuh dan sofa yang sudah usang tidak terkecuali disenaraikan dalam barangan yang akan dibuang. Kamarul dan Balqis ingin memastikan mereka sekeluarga berpindah ke rumah baru dengan gembira dan selesa. Apa tidaknya, daripada sofa sehinggalah katil anak-anaknya, semuanya baru. Dengan ‘Skim Bayaran Mudah’, Kamarul dapat mengambil barangan bernilai hampir RM 15,000 dan hanya perlu membayar RM 419 setiap bulan secara ansuran selama 5 tahun. Harga barang asyik meningkat, belum cukup bulan duit sudah habis.

Bermula pada saat itu, Kamarul mula berjinak-jinak dengan kad kredit. Sekiranya dahulu kad kredit digunakan bagi membayar petrol kereta, kini bayaran servis kereta, bil telefon, bil elektrik sehinggalah barangan dapur semuanya dibayar dengan kad kredit. Setiap kali mendapat gaji, Kamarul memastikan pembayaran minimum dibuat bagi setiap kad kredit yang dimilikinya. Kamarul dan Balqis sangat gembira semasa menyambut kelahiran anaknya yang keempat. Akhirnya Kamarul menukar lagi keretanya dengan membeli sebuah MPV yang berharga RM 100,000 lebih. Memang cantik, besar, selesa, dan kuasa enjinnya pula adalah 2.5cc. Dia menggunakan duit lebihan dari kereta 1.6 Automatiknya yang dijual. Ansuran bulanan hanyalah RM1,271 bagi tempoh 9 tahun. Lagipun dia baru menerima kenaikan gaji sebanyak 5% (gaji baru RM4090).

Pada suatu hari, berita memaparkan kenaikan minyak sebanyak 30 sen seliter bagi petrol. Perbelanjaan petrolnya sudah meningkat tetapi tidak dirasainya kerana pembayaran dibuat menggunakan kad kredit. Sehingga kini, dia masih tidak tahu berapa jumlah yang dibelanjakannya bagi minyak keretanya setiap sebulan. Dari hari ke hari, hutang Kamarul semakin meningkat disebabkan semua perbelanjaan dicajkan kepada kad kredit. Dia pula hanya membayar dengan bayaran minimum dan juga dikenakan dengan kadar faedah yang tinggi. Hutang semakin bertambah dan kini sudah setinggi gunung. Dia sudah tidak mampu mengira jumlah hutang sekarang. Lalu datanglah idea memotong separuh daripada hutangnya. Pinjaman perumahan yang sudah tinggal RM 90,000 dibiayai semula.

Harga pasaran rumah itu pada masa ini adalah RM 280,0000. Dia mengambil pinjaman sebanyak RM 240,000 dan menyelesaikan pinjaman perumahan di bank lama sebanyak RM 90,000. Baki RM130,000 digunakan membayar hutang kad kredit, skim bayaran mudah, pinjaman peribadi dan kereta. Duit selebihnya digunakan bagi mengubahsuai rumahnya. Dia menyangkakan membuat keputusan yang bijak. “Aku sudah membuat keputusan yang bijak, semua hutang aku bayar. Cuma hutang rumah bertambah sikit, ansuran tinggi sikit, tempoh ansuran bertambah sikit dan kadar faedah (keuntungan) yang dikenakan sikit sekiranya dibandingkan dengan dahulu, semuanya sikit-sikit sahaja.” Kamarul mengelamun seketika sambil menghirup kopi panas di kawasan beranda rumah yang sudah diubahsuai. Jangan lupa sikit-sikit lama-lama jadi bukit… . Kamarul terjebak semula dengan hutang kad kredit. Dahulu dia merasakan dialah pengguna yang bijak, rupa-rupanya pengguna yang sudah dipijak.

Kini hampir setiap hari dia diganggu oleh panggilan daripada bank yang memintanya membayar ansuran yang tertunggak. Bagaimana dia hendak bayar, sekiranya hutang bagi satu kad kredit sudah mencapai beribu-ribu ringgit. Dia pula memiliki enam kad kredit. Belum lagi dicampur dengan hutang sofa, katil dan lain-lain yang diambil dengan skim bayaran mudah. Ia sudah pun tertunggak selama dua bulan. Pulang dari kerja, dia dikejutkan lagi dengan surat-surat hutang. Kandungan surat itu memintanya menjelaskan hutang dalam masa 14 hari ataupun mereka akan mengambil tindakan saman.

Zaman Gabra :
Segala simpanannya dikeluarkan bagi mengelakkannya menerima surat saman. Ada kalanya dia terpaksa menangguhkan bayaran ansuran rumah supaya dapat menjelaskan ansuran kad kredit yang sudah tiga bulan tertunggak. “Abang, susu Aiman sudah habis.” Balqis berkata pada suatu hari semasa Kamarul pulang dari pejabat. “Kenapa Balqis tidak beritahu awal bulan, sekarang mana abang ada duit!” Dalam poket seluarnya hanya ada RM3, dalam bank RM 16.42.

Dia terpaksa mendapatkan bekalan susu di pasar raya yang menerima pembayaran melalui kad kredit. “Ah, lega… kad kredit diterima” katanya sambil matanya tertumpu pada mesin pembaca kad kredit. Sampai sahaja di rumah telefon bimbitnya berbunyi. Balqis bingung mengapa Kamarul tidak menjawab panggilan itu. “Abang, telefon tu, kenapa tidak angkat?” tegur Balqis. “Biarlah, orang yang menguruskan kad kredit tu. Sudah pukul 7 malam pun masih nak bekerja, susahlah kalau macam ini.” “Sudahlah sehari suntuk bank menelefon bertanyakan ansuran kereta yang dua bulan tertunggak. Bukan aku tidak mahu bayar, tetapi duit bulan ini sudah habis, tunggulah bulan depan,” hatinya berbicara. “Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.

"Begitulah nasib Kamarul. Sehingga kini, sudah tiga kali dia naik turun mahkamah. Hutang kad kreditnya sahaja sudah mencapai berpuluh-puluh ribu ringgit, tetapi gajinya masih di takuk lama. Kini hanya tinggal satu kad kredit sahaja yang dapat digunakan. Semua keperluannya terpaksa dibayar melalui kad kredit. Faedah yang perlu ditanggung lebih daripada RM500 sebulan itu belum dicampur pokok yang perlu dibayar. Dia merasa takut apabila dilanda musibah kerana tidak mempunyai duit simpanan. Apabila keretanya rosak, dia tidak dapat menggunakan kad kredit kerana semua kad kreditnya sudah hampir mencapai had maksimum.

Dia terpaksa menangguhkan pembayaran ansuran rumah dan kereta dan menggunakan duit gaji itu bagi membaiki keretanya. Kemalangan, kena saman, kereta rosak, anak masuk wad, ahli keluarga sakit dan insurans kereta tamat adalah perkara-perkara yang mampu membuatkan dirinya tertekan. Kini, satu-satunya kenderaannya baru sahaja ditarik. Bagi mengurangkan kos, dia menghantar anak dan isterinya balik ke kampung buat sementara waktu. Sebenarnya dia tidak sanggup berpisah dengan mereka tetapi dia terpaksa. Dia sudah mendapat notis dari bank bagi mengosongkan rumah kerana ia akan dilelong.

Zaman Derita :
Di kala Kamarul memerlukan sokongan daripada orang yang tersayang, dia diuji lagi dengan ujian yang besar. Isterinya memohon cerai kerana tidak tahan dengan keadaan hidup mereka yang semakin susah. Dia sudah tidak mampu memberi keperluan zahir kerana duit gajinya terpaksa digunakan membayar hutang-hutang itu. Dipendekkan cerita, pada 23 Ogos yang lepas, dia diisytiharkan muflis. Dia berasa sangat malu melihat namanya terpampang di dada akhbar-akbar tempatan. DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI SHAH ALAM DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN, MALAYSIA DALAM KEBANKRAPAN NO X-XXXX-XXXX BER: SI POLAN BIN SI POLAN (NO. K/P XXXXX-XX- XXXX) … .Penghutang EX PARTE: XYZ BANK BERHAD … … … ..

Habis semua harta Kamarul dilelong bagi membayar balik segala hutangnya. Selepas rumah dan keretanya dijual, dia masih berhutang sebanyak RM 45,000. Kamarul berasa sangat tertekan. Dia merintih, “Mana aku hendak letak lagi muka aku ini, nama aku sudah tidak ada nilai lagi. Sekiranya dahulu dunia ini satu pinjaman, maka aku pinjamlah. Tetapi, kini aku sudah tidak ada apa-apa lagi. Hidup aku porak-peranda kerana hutang. Oh, malangnya nasibku, seorang yang mempunyai ijazah tetapi akhirnya kecundang. Tetapi kenapa yang banyak kecundang adalah orang yang berpendidikan tinggi seperti aku ? Harga diri aku sudah tergadai.” “Wahai cucuku, setiap yang lahir ke dunia ini dimuliakan oleh Tuhan dengan maruah. Tetapi yang menjatuhkan dan menggadaikannya adalah kita. Tuhan tidak pernah ingin perkara yang tidak baik kepada kita, hanya kita yang menghancurkan diri kita. Bertaubatlah, sesungguhnya Tuhan itu maha pemurah dan pengampun.” Suara seorang tua berpakaian serba putih yang muncul dalam mimpi semalam masih terngiang-ngiang di corong telinga Kamarul. Ketika ini terdengar di corong telinga Kamarul. “Roh seorang Muslim… ” “Ya Allah, janganlah ambil nyawaku pada masa ini. Aku benar-benar takut sekiranya Tuhan mengambil nyawa aku pada masa ini kerana aku mungkin menjadi muflis di dunia dan akhirat.” Hidup aku Porak Peranda Keranamu Hutang !



END

Dipetik daripada blog al-banjari. Diubahsuai oleh blog IBComm.YECUTP

No comments:

Post a Comment