Thursday, April 1, 2010

Article #01 : Bahaya Penggunaan Kad Kredit dan Keburukan Berhutang (part 1)

"gambar diatas adalah contoh sahaja, tidak mengena mana-mana pihak"

Zaman Gembira :
“Kamarul, esok result keluar.” Suara Imran kedengaran di hujung corong telefon. “Kalau ada yang sangkut, habislah aku, extend 6 bulan lagilah.” Nafas Kamarul seakan tersekat-tersekat apabila mendengar kata-kata Imran tadi. Kamarul berdebar-debar, dia sudah tidak sanggup lagi burning the midnight oil. Apabila keputusan keluar pada keesokan harinya, ia benar-benar bermakna bagi Kamarul. “Alhamdulillah, aku lulus.” Bagaikan arus sejuk singgah di kepalanya, dengan kelulusan itu Kamarul dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian. Sejak hari itu, berpuluh-puluh permohonan kerja resume dihantar ke syarikat-syarikat besar. Akhirnya dia mendapat kerja di syarikat di Petaling Jaya, sebagai eksekutif dengan gaji RM1,500. Disebabkan tiada pengangkutan awam ke tempat kerja dari rumahnya, Kamarul membuat keputusan membeli sebuah motosikal yang berharga RM 3,500. Dia kekurangan wang lalu ingin meminjam daripada ibunya sebagai wang pendahuluan dan membayar bakinya dengan ansuran bulanan sebanyak RM200 selama 3 tahun. Ibunya memberikan RM3,500 kepadanya supaya membeli motor itu secara tunai. Apabila ada masa terluang pada hujung minggu, Kamarul pergi ke pusat membeli-belah bagi bermain boling dan menonton filem.

Pada suatu hari dia diperkenalkan dengan kad kredit, selepas diberitahu dia tidak perlu membayar satu sen pun bagi memilikinya. Tanpa berlengah-lengah lagi, Kamarul pun bersetuju. “Encik boleh faks satu salinan borang EA (borang pendapatan). ” Lebih kurang dua minggu kemudian, kad kredit itu sampai dan dia pergi ke bank bagi mendapatkan nombor PIN kad itu. Sejak hari itu, kad itu tersimpan kemas tidak terusik di dalam dompetnya. Kini hampir setahun ia tersimpan di dalam dompet tanpa menggunakannya.

Genap setahun bekerja di Syarikat ABC, Kamarul membeli sebuah kereta. Dia sudah tidak tahan dengan kepanasan cuaca dan terpaksa berteduh di bawah jambatan setiap kali hujan lebat. Harga kereta : RM 53,000 Wang Pendahuluan: RM 1,500 Tempoh : 9 Tahun (108 bulan) Ansuran : RM 624 Sejak memandu kereta, Kamarul mula menggunakan kad kredit bagi mengisi minyak keretanya. Sekiranya dahulu, dia membayar tunai kerana RM5 cukup bagi satu tangki minyak motornya, tetapi sekarang RM50 pun belum penuh satu tangki keretanya. Kamarul membayar minyak petrol keretanya menggunakan kad kredit dan menjelaskan bilnya apabila mendapat gaji pada hujung bulan. Pernah sekali kad kreditnya tidak dapat digunakan. Selepas kejadian itu, dia memohon satu lagi kad kredit dari bank yang lain. Sekiranya salah satu kad kreditnya rosak ataupun tidak diterima, dia masih ada satu lagi kad kredit yang dapat digunakan.


Zaman Bangga Gila :
Seperti biasa, setiap tahun, gajinya akan naik di antara 5 – 9%. Kini gajinya RM 2,750. “Alhamdulillah dengan umur 26 tahun, aku sudah mendapat gaji sebesar ini.” Hatinya benar benar puas. Jodoh, rezeki, ajal dan maut di tangan Tuhan. Apabila sampai waktunya, semua remaja akan bersatu termasuklah Kamarul. Dia bertunang dengan Balqis dengan menetapkan hantaran kahwin sebanyak RM6,666.

Semasa dalam pertunangan, Kamarul membuat satu pinjaman peribadi bagi urusan perkahwinannya. “Alhamdulillah, pinjaman aku lulus.” Kamarul merasa gembira pinjaman peribadi sebanyak RM 15,000 dari sebuah bank tempatan diluluskan. Dia memerlukan duit yang banyak bagi menampung kos hantaran dan majlis perkahwinannya yang akan diadakan secara sederhana. Selepas berkahwin dengan Balqis, Kamarul membawa isterinya ke Kuala Lumpur dan mereka menyewa rumah teres setingkat dengan kadar sewa sebanyak RM 600 sebulan.

Seperti kebiasaan pada setiap pasangan baru berkahwin, terdapat banyak kekurangan yang perlu disediakan bagi keselesaan hidup berdua. Semasa bujang dia banyak menggunakan televisyen, mesin basuh dan peralatan lain yang dimiliki oleh rakan-rakan serumah. Selain daripada keretanya, harta bujangnya adalah sebuah radio. Rumah Kamarul sunyi sepi, sekiranya dahulu balik dari tempat kerja, dia dapat menonton televisyen. Tetapi kini, selepas sembahyang Isyak, mereka terus masuk tidur. Tidak sampai seminggu, dia pulang dengan sebuah TV berjenama 29 inci. Hatinya puas apabila melihat senyuman Balqis yang sedang menonton drama kegemarannya itu. Setiap hari dia terpaksa membeli lauk dan sayur-sayur kerana dia tidak mempunyai peti sejuk bagi menyimpannya.

Akhirnya dia membeli sebuah peti sejuk yang besar dan selesailah sudah satu lagi masalahnya. Semasa bujang, dia menghantar pakaiannya ke kedai dobi, kini pakaiannya dibasuh di lantai bilik air yang sempit. Tidak tahan dengan keadaan itu, dia membawa pulang sebuah mesin basuh automatik yang dapat memuat muatan sehingga 7 kilogram. “Sayang, comforter pun kita boleh basuh dengan mesin ini, tidak payah lagi hendak hantar kedai dobi.” Kamarul memberitahu isteri kesayangannya. “Mana abang dapat duit beli semua ini? Abang dapat bonus, ya?” tanya si isteri. Kamarul menjawab sambil tersenyum, “Alah, abang ambil di Court, bayar ansur-ansur. ” “Kalau macam itu, boleh tak abang ambil microwave satu, senang lauk sejuk boleh kita panas, tahan lama sikit, tak payah buang.” Balqis meminta. “Yelah sayang, nanti hujung minggu ini kita pergi ambil.” Setiap kali ada jualan murah, Kamarul mengambil kesempatan membeli barangan dengan harga yang murah.

Kamarul sudah tidak lagi membayar semua perbelanjaannya melalui hutang kad kredit. Dia hanya membuat bayaran minimum kad kredit setiap kali menerima gaji. Pada masa ini dia sudah mulai mempunyai hutang kad kredit. Semasa di tempat kerja, seorang rakan menegur, “Kamarul, engkau sudah buka e-mel?”, tanya si Man. “Kenapa Man? Boss declare bonus ke ?”. Biji mata Kamarul hampir terkeluar apabila membaca e-mel daripada pihak pengurusan yang tertera 2.5. Dalam hatinya. “Ni bukan 1 bulan tapi 2.5 bulan.” Muka Kamarul berubah berseri-seri . “Wow, banyak ni, orang kaya barulah kita.” Sejak duit bonus sudah masuk ke dalam akaun semalam, Kamarul tidak dapat duduk diam. Dia asyik terkenangkan duit bonus itu.

Akhirnya dia menjual keretanya dan membeli kereta 1.6 Automatik. Seperti biasa, bayar duit pendahuluan serendah yang mungkin dan memanjangkan tempoh pembayaran sehingga maksimum. Enam bulan selepas berkahwin, Kamarul membawa isterinya ke klinik pakar. Betapa gembiranya apabila doktor memberitahu isterinya mengandung. Setiap bulan Kamarul membawanya ke klinik pakar bagi memastikan kesihatan kandungan isterinya. Klinik ini menerima pembayaran melalui kad kredit.

Apabila sampai waktu bersalin, Kamarul memilih hospital swasta demi keselesaan isteri tercinta melahirkan zuriatnya yang pertama. Dia mengambil pakej tiga hari dua malam yang berharga RM 2,500 bagi bersalin secara normal. Akhirnya isterinya melahirkan anak lelaki yang comel seberat 3.2 kilogram melalui pembedahan Caesaran. Kamarul menggunakan salah satu kad kreditnya bagi membayar kos hospital yang berjumlah RM4,863.50. Daripada lampin sehinggalah ke susu, semuanya berjenama dan berkualiti demi puteranya pewaris keturunan. Kamarul berjaya mendapat kerja sebagai penolong pengurus di sebuah syarikat gergasi dengan gaji permulaan RM3,900.

Bagi meraikannya, dia membawa isteri dan anaknya makan besar di sebuah restoran makanan Jepun. Pembayaran dibuat dengan menggunakan kad kredit berjumlah RM 258.70. Sudah tujuh tahun dia tinggal di rumah sewa dengan isteri dan anaknya. Sudah tiga kali dia berpindah, dari rumah teres setingkat tiga bilik sehinggalah rumah teres dua tingkat empat bilik. Daripada sewa RM 600 sehinggalah kini dia membayar RM1,000 sebulan. Terdetik juga di hatinya, “Sampai bila aku nak hidup dengan menyewa?” Dia pergi ke bank menanyakan jumlah pembiayaan bagi sebuah rumah teres satu tingkat yang berharga RM 130,000. Alangkah terkejutnya apabila mendapati dia layak membuat pinjaman membeli rumah yang cantik, besar dan mahal. Apa lagi, dia pun membeli sebuah rumah teres dua tingkat berharga RM 176,000 dengan ansuran sebanyak RM1,233 selama 30 tahun. Semasa rumah sedang dalam pembinaan, dia membayar RM 700 sebulan bagi faedah selama dua tahun.

to be continued...

No comments:

Post a Comment